JAKARTA – Seorang pengantin di Indonesia terkejut apabila menerima wang salinan fotokopi yang diberikan oleh tetamu majlis perkahwinannya, lapor portal berita Wolipop semalam.
Dalam satu video yang dikongsikan di laman TikTok, wanita bernama Nuriaraziz menunjukkan helaian wang kertas palsu bernominasi 50,000 rupiah (RM15.13) yang diletakkan di dalam sampul.
Terdapat sehelai kertas putih yang mempunyai empat salinan fotokopi wang kertas tersebut di atasnya.
“Hidup sudah terlalu penat, tiba-tiba ada juga manusia yang memberikan wang fotokopi,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Lebih baik daripada mendapat sampul kosong. Namun, ini sangat lucu,” kata seorang netizen.
“Ketika saya berkahwin dahulu, ada yang memberikan resit perubatan dalam sampul,” kata pengguna lain. – AGENSI