fbpx

Terima Pingat Hang Tuah, selamat keluarga rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada Altamis Faiz Shahrullizam yang dianugerahkan Pingat Hang Tuah sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Ketenangan seorang kanak-kanak berusia 9 tahun mengawal emosi ketika dalam situasi kebakaran rumah berjaya membantunya menyelamatkan nyawa ahli keluarga yang lain.

Atas keberanian ditunjukkan Altamis Faiz Shahrullizam melayakkan anak kedua daripada lima beradik itu menerima anugerah Pingat Hang Tuah sempena Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2023, hari ini.

Menurut kanak-kanak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor itu, kejadian itu berlaku pada pukul 4 pagi, 4 September lalu di kediaman keluarganya di Bandar Sri Coalfields.

“Ketika kejadian itu, saya sedang tidur bersama seorang adik lelaki iaitu Aryan Adwa, 3, manakala ibu bapa serta tiga adik beradiknya yang lain tidur di bilik berasingan.

“Saya terbangun sebelum terbau asap, saya terus ke bilik ibu ayah dan adik beradik yang lain untuk mengejutkan mereka agar bangun daripada tidur untuk selamatkan diri.

“Sebenarnya takut juga waktu itu, tetapi saya beranikan diri untuk kejutkan ahli keluarga yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang diadakan di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Tambah Altamis Faiz, dia turut berterima kasih dengan satu episod rancangan kartun Upin Ipin yang mendidik kanak-kanak untuk bersikap tenang walaupun berdepan insiden kebakaran.

Sementara itu, ibunya, Fazreen Ismail, 39, pula memberitahu, anaknya telah mempelajari silat sejak berusia 6 tahun, yang mana dia percaya turut membantu memupuk sikap berani dalam diri anaknya itu.

“Dia bukan sahaja bertindak pantas dengan mengejutkan kami semua daripada tidur, tetapi dia juga sempat mencapai kunci rumah dan membawa anak bongsu kami yang berusia 3 tahun keluar bersama-sama.

“Selepas kami berjaya keluar dalam keadaan lampu rumah sudah padam dan keseluruhan ruang dipenuhi asap, dia turut mengejutkan jiran-jiran di rumah berhampiran, manakala suami dan anak sulung kami berusaha memadamkan kebakaran sebelum menunggu ketibaan bomba,” ujarnya.

Tambahnya, dia tetap bersyukur apabila semua ahli keluarga selamat dalam kebakaran berkenaan walaupun kediaman mereka musnah kira-kira 70 peratus.

Dalam pada itu, Altamis Faiz turut membawa pulang wang berjumlah RM5,000 beserta trofi.

Sementara itu, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Kesenian pula diberikan kepada Ahmad Mikhail Damsal Abdul Hakim, 14; Anugerah Gemilang Sukan diberikan kepada Emelda Camalia Abd. Razak,13 dan Anugerah Gemilang OKU diberikan kepada Nurr Arissa Irdiani Azizi, 13. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI