NASHVILLE, TENNESSEE – Seorang lelaki disahkan maut selepas menembak dirinya sendiri semasa melarikan diri daripada polis selepas membunuh empat wanita dan mencederakan seorang mangsa lain pada Sabtu lalu.
Saluran berita CBS News melaporkan, polis menemui mayat Mavis Christian Jr., 52, di dalam keretanya kelmarin selepas penyerang melepaskan tembakan di tiga lokasi berbeza di bandar Memphis pada hari sebelumnya.
Tiga wanita dan seorang remaja perempuan disahkan terbunuh, manakala seorang gadis parah.
Jabatan Polis Memphis bertindak berhubung laporan kejadian tembakan pada pukul 9.22 malam (waktu tempatan), Sabtu lalu di kawasan 100 Blok Howard Drive.
Polis menemui mayat seorang wanita dengan kesan tembakan di lokasi kejadian.
Kata polis, terdapat dua lagi insiden tembakan maut yang dikenal pasti dilakukan oleh penyerang sama.
Di kawasan Field Lark Drive, seorang wanita dan seorang gadis berusia 13 tahun terbunuh manakala seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah.
Seorang lagi wanita ditembak mati di kawasan Warrington Riad, kata pegawai polis Memphis, Christopher Williams.
Polis percaya Christian bertanggungjawab terhadap ketiga-tiga kejadian tembakan itu. Polis melancarkan operasi memburu suspek dengan kerjasama penguatkuasa tempatan, negeri dan persekutuan.
Setiap kejadian tembakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes keganasan rumah tangga. Menurut saluran berita WREG, Christian adalah saudara-mara kepada mangsa. – AGENSI