fbpx

Syaiful, Sharif nak jadi Senario ‘alaf baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menjadikan kumpulan Senario sebagai rujukan, Syaiful dan Sharif ingin lebih serius di arena nyanyian dengan merakamkan lagu selepas tamat Famili Duo 3 nanti.

SHAH ALAM – Meraih tiga gelaran juara mingguan Famili Duo tiga (FD3) membulatkan tekad buat pelawak, Syaiful dan Sharif untuk lebih serius di arena nyanyian dengan merakamkan lagu selepas tamat pertandingan realiti tersebut itu nanti.

Kata Sharif atau nama sebenar, Sharif Kadir Doli Sharif, mereka mahu menjadi penggiat seni versatil seperti Senario, bukan hanya dikenali sebagai pelawak dan pelakon sahaja.

“Sebenarnya banyak pihak minta kami buat persembahan nyanyian, tapi ada lagu yang kita macam tak boleh ‘pergi’ sedangkan kami memang boleh nyanyi.

“Jadi macam mana nak tunjuk kat semua yang kami betul-betul serius dan pendek kata kita nak jadi kumpulan Senario yang serba boleh.

“Satu-satunya kumpulan pelawak yang ada lagu masuk Anugerah Juara Lagu (AJL), kita nak kejar yang itu untuk bagi kepuasan kepada peminat.

“Kita boleh melawak, menyanyi, buat persembahan dan kalau ada rezeki lepas pertandingan ini kami nak keluar dengan lagu-lagu sendiri,” katanya selepas konsert minggu keenam FD3 di ntv7 Glenmarie, malam tadi.

Pasangan duo bersaudara itu mencipta kemenangan manis apabila buat kali ketiga meraih juara selepas memenangi gelaran itu ada minggu pertama dan konsert minggu kelima.

Begitupun, akui Syaiful atau Mohd. Syaiful Doli Sharif, 34, kemenangan tersebut bukan sebagai tiket untuk mendabik dada.

Sebaliknya, pasangan adik-beradik asal Kudat, Sabah ini mahu terus konsisten memberikan yang terbaik pada minggu akan datang yang juga peringkat separuh akhir.

Mereka berharap aksi seterusnya sehingga malam kemuncak pada 3 Disember depan dapat diterima ramai selain mampu memikat hati juri tetap, Ajai dan Mas Idayu.

“Sebenarnya dalam mana-mana pertandingan, kami akan berikan persembahan 100 peratus supaya semua penonton terhibur, itu adalah perkara yang akan kami lakukan.

“Memang rasa yakin itu ada sebab sudah buat persiapan dari segi lagu dan sebagainya. Saya akui situasi terlebih yakin itu pernah ada sebab merasakan apa sahaja yang kami buat orang akan terhibur.

“Tapi setiap kali kami rasa begitu, persembahan itu akan ‘jahanam’. Jadi, setiap persembahan yang kami buat, kami akan pastikan penonton terhibur dan biarkan juri menilai,” katanya.

Enggan selesa

Biarpun ada yang beranggapan mereka sudah layak mara ke peringkat akhir dengan jumlah markah dan kedudukan tempat pertama dalam carta keseluruhan ketika ini, Sharif bagaimanapun enggan terlalu selesa.

“Untuk minggu separuh akhir kami tak mahu buat sambil lewa. Kami tetap mahu berikan yang terbaik biar orang nilai bahawa kami memang layak masuk ke final.

“Bagaimanapun, sejak mula masuk program ini, saya sematkan dalam hati untuk tidak mensasarkan kemenangan, tapi mahu orang bercakap mengenai penangan FD3 ini. Kami mahu FD3 ini menjadi musim yang akan terus dingati.

“Kami memang bukan asalnya penyanyi, tapi kami tetap berusaha untuk tunjuk kepada orang ramai yang kami boleh menyanyi.

“Dalam menyanyi, kami juga mahu menghiburkan orang ramai, senang kata kami mahu jadi seperti Senario. Jadi, kalau ada rezeki selepas FD3 ini, kami akan cuba keluarkan lagu,” ujarnya.

Menerusi konsert minggu keenam FD3, duo itu berjaya membawa lagu Bunyi Gitar nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Direnjis-Renjis (Allahyarham R. Ismail) dengan baik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Syaiful dan Sharif mengumpul 7.13 markah meninggalkan lima pasangan lain iaitu Tom dan Fuad Rahman yang beroleh 62.9 markah; Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (62.8 markah); Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (47.7 markah); Shila Amzah dan Syahir Amzah (45.9 markah) serta Ryan Bakery dan Adam Bakery (45.4 markah).

Atas kemenangan itu, Syaiful dan Sharif memilih tema Hip Hop/Dance untuk dipersembahkan setiap peserta pada konsert separuh akhir, Ahad depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI