fbpx

Skuad berbasikal wanita ke Paris 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD berbasikal lebuh raya wanita negara berpeluang beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas PKBM menerima pengesahan tentang tiket kelayakan automatik ke Paris 2024 daripada pihak UCI.

IMPIAN untuk melihat skuad berbasikal lebuh raya wanita ber­aksi ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024 akhirnya menjadi kenyataan selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyediakan satu kuota untuk Malaysia ke temasya empat tahun sekali itu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab mengesahkan pihaknya sudah menerima pengesahan tentang tiket kelayakan auto­matik ke Paris 2024 daripada pihak UCI.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan pihaknya sudah pun memiliki beberapa calon pelumba wanita untuk dihantar ke Sukan Olimpik Paris, namun perlu berbincang lebih lanjut dengan pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kita ada beberapa cadangan tetapi biar kita bincang dahulu secara serius dengan MSN,” katanya.

Sebagai rekod, pelumba berbakat negara, Phi Kun Pan me­rangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai Bawah 23 Tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuh Raya Asia (ACC 2023) sejauh 111 kilometer pada hujung Mei lalu.

Namun, ada beberapa nama pelumba wanita lain yang dicadangkan antaranya Nur Aisyah Zubir yang juga merupakan pemenang dua pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja Ogos tahun lalu.

Beberapa negara Asia Teng­gara yang lain seperti Vietnam dan Thailand turut menerima satu slot untuk ke Paris 2024.

Sebelum ini, Ahli Jawatan­kuasa Pengurusan UCI dan Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh menyampaikan berita gembira berkenaan ketika me­syuarat Exco badan berbasikal kebangsaan itu dua minggu lalu.

“Kita sudah terima pengesahan daripada UCI bahawa Malaysia dapat satu lagi slot automatik untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 dan keputusan itu juga te­lah keluar dalam laman sesawang UCI.

“Malaysia menerima kuota tersebut berdasarkan ranking dunia dan juga kedudukan di kejohanan lebuh raya Asia sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia pernah layak secara merit menerusi acara lebuh raya Sukan Olimpik 2012 dan ketika itu, PKBM memutuskan untuk menghantar dua nama besar iaitu Mohd. Adiq Hussaine Othman dan Amir Mustafa Rusli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI