WASHINGTON – Seorang lelaki bertindak menyaman doktor di sebuah hospital di Washington kerana mengeluarkan organ yang salah ketika pesakit menjalani pembedahan membuang apendiks.
Akhbar Mirror UK melaporkan, George Piano, 72, nekad menyaman doktor di Pusat Perubatan Universiti Washington Northwest kerana menuduh mereka cuai.
Piano memfailkan tuntutan mahkamah memperincikan pengalaman pahit itu yang berlaku pada Disember 2022 apabila dia mengadu sakit perut dan disahkan menghidap apendiks.
Doktor memaklumkan bahawa dia hanya perlu menjalani pembedahan apendiks biasa dan ia sepatutnya menghentikan sakit perut dialaminya.
“Apabila bangun, saya mengalami kesakitan yang sangat teruk. Lebih teruk berbanding semasa pergi ke hospital. Saya mengalami kebocoran kolon yang menyebabkan sepsis dan jangkitan,” kata Piano.
Tuntutan mahkamah itu mendakwa bahawa doktor tidak berjaya mencari apendiks Piano dan imbasan CT yang dilakukan n dua hari selepas itu mendapati apendiknya masih ada tetapi sebahagian ususnya hilang.
Dia terpaksa menjalani dua pembedahan lain untuk merawat jangkitan dan empat pembedahan tambahan. – AGENSI