KULIM – Seorang pesakit kanser usus tahap empat sedih apabila tidak lagi dapat bekerja bagi menampung keperluan isteri serta lima anaknya ekoran tahap kesihatan yang semakin merosot sejak dua tahun lalu.
Menurut Mohd. Fitri Md. Nor, 44, sebelum disahkan menghidap kanser usus, dia mengalami masalah sukar membuang air besar yang disangkanya buasir sejak dua tahun lalu.
“Saya mencari ubat buasir di merata tempat serta mendapatkan rawatan tradisional, namun keadaan menjadi semakin teruk sehingga saya tidak mampu lagi bekerja sebagai pemandu lori.
“Rasa sakit itu membuatkan saya tidak boleh duduk dan tidur sehingga sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kulim pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Keda Naga Lilit, di sini baru-baru ini.
Katanya, pemeriksaan rapi serta saringan ujian darah mengesahkan dia menghidap kanser usus tahap empat.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu, namun saya terpaksa kuatkan diri demi keluarga,” ujarnya.
Kata Mohd. Fitri, dia kemudian menjalani pembedahan pada perut untuk membuat saluran baharu bagi pembuangan najis menggunakan beg stoma yang perlu dibeli sendiri.
“Saya terpaksa menggunakan beg khas itu sepanjang hayat kerana saluran usus besar sudah tidak boleh dirawat lagi,” jelasnya.
Katanya, dia kini hanya bergantung kepada bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan, manakala isterinya, Norfazidah Mohd. Fodzi, 41, hanya bekerja sebagai penghantar makanan ke gerai-gerai di sekitar Lunas dengan pendapatan tidak menentu kira-kira RM500 sebulan.
“Saya mempunyai lima anak iaitu empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara enam hingga 19 tahun dengan tiga daripada mereka masih bersekolah,” katanya.
Sementara itu, Norfazidah berkata, dia tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana perlu menguruskan suami serta anak.
“Suami saya perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang dan kini dirujuk ke sebuah hospital swasta untuk rawatan kemoterapi dan radioterapi yang memerlukan kos untuk berulang-alik ke sana,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 152031771468 atas nama Norfazidah Mohd. Fodzi atau menghubungi Mohd. Fitri di talian 011-17294301 dan 017-5123736.