SEBERANG PERAI – Seorang pengurus syarikat didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM150,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Lee Beng Tiek, 53, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa secara tidak jujur menipu ejen Perkeso bagi menuntut insentif bawah program itu.
Tertuduh yang ketika itu pengurus Menbridges Academy Sdn. Bhd. didakwa memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan 52 nama dalam senarai pekerja Data Penjana Kerjaya 3.0 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) sedangkan individu yang dinamakan itu bukan kakitangan syarikat berkenaan.
Perbuatan itu mendorong Perkeso menyerahkan RM150,000 ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh.
Beng Tiek dituduh melakukan kesalahan itu di Perkeso Pulau Pinang, Seberang Perai Tengah antara 5 sehingga 21 Mac 2021.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Aiman Abdul Rahman dan Haziq Razali.
Aiman memohon mahkamah mengenakan denda minimum dikenakan atas faktor anak guamnya mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak.
Katanya, tertuduh juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan memberikan kerjasama baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, Noor Azura Afiqa memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam sekali gus memastikan kesalahan itu tidak berulang lagi.
Hakim Zulhazmi kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM50,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan hukuman penjara antara dua sehingga empat bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE