SUSULAN tragedi kematian peminat ketika konsert Taylor Swift The Eras Tour di Rio de Janeiro, Brazil, Jumaat lalu, bapa kepada mangsa, Benevides Machado, 53, tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak penganjur.
Katanya ketika ditemubual media tempatan, Ana Clara yang berusia 23 tahun sedang menunggu hari graduasi bagi menerima ijazah dalam jurusan Psikologi pada April tahun depan.
“Saya kehilangan satu-satunya anak yang mempunyai cita-cita tinggi. Dia pergi ke konsert itu dengan sihat. Tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini.
“Jika benar pemergiannya disebabkan air tidak boleh dibawa masuk stadium seperti diperkatakan atau atas kecuaian penganjur, ada pihak perlu dihukum,” katanya.
Sebelum ini Swift mengumumkan penangguhan hari kedua konsert di lokasi sama bagi memberi penghormatan kepada peminatnya itu.
Penyanyi sensasi itu memaklumkan, hatinya remuk dengan berita pemergian seorang peminat akibat cuaca panas melampau mencecah 42 darjah selsius ketika konsert berlangsung.
“Saya tidak percaya saya menulis kata-kata ini, tetapi dengan hati yang remuk saya katakan, kami kehilangan peminat malam tadi (kelmarin) sebelum persembahan.
“Saya tidak dapat beritahu anda betapa remuknya hati apabila konsert terpaksa dibatalkan disebabkan suhu panas ekstrem di Rio.
“Keselamatan dan kebajikan peminat, penghibur dan kru tetap diutamakan ,” tulisnya dalam hantaran menerusi Instagram.
Menurut laporan media, Ana rebah dan kemudian meninggal dunia. Punca kematian adalah disifatkan sebagai serangan jantung dan masalah pernafasan.
Khabarnya, penganjur Taylor Swift Eras Tour di Rio de Janeiro melarang penonton membawa minuman ke dalam kawasan konsert walaupun suhu sangat panas.
Selepas Rio de Janeiro, wanita berusia 33 tahun itu bersama rombongan dijadualkan bergerak ke San Paulo.
Sebelum itu, Swift juga dilihat tercungap-cungap usai membawakan lagu Bejeweled pada akhir aksinya dalam konsert malam pertama di Rio de Janeiro itu.
Menurut penganjur, Time For Fun (T4F) dalam kenyataan berasingan meyakinkan peminat bahawa pihak syarikat memastikan isu cuaca ekstrem itu dapat ditangani dengan baik.
Malah, pihaknya turut menyediakan bekalan air di beberapa kawasan stadium termasuk laluan masuk, di pintu setiap kawasan serta mengedarkan minuman sepanjang konsert.
T4F dalam kenyataan tersebut memaklumkan konsert kedua itu akan diteruskan pada Isnin. – KOSMO! ONLINE