MELAKA – Kerajaan negeri bercadang melaksanakan laluan kontra dari Little India ke Banda Kaba di Banda Hilir di sini bagi melancarkan penyuraian trafik pada hujung minggu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, cadangan tersebut masih di peringkat kajian bagi menilai aspek yang perlu ditambah baik dalam memastikan kelancaran pergerakan pelancong semasa pelaksanaan zon bebas kenderaan.
Beliau berkata, tempoh percubaan laluan kontra itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu sebelum Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
“Melaka terkenal sebagai negeri pelancongan, saya perlu meneliti kajian tentang aliran trafik yang sepatutnya boleh ditambah baik agar kesesakan di tengah bandaraya pada hujung minggu dapat diselesaikan.
“Pandangan dan idea saya adalah untuk buat kontra jalan di Banda Kaba ke Hotel Equatorial, jadi jalan tidak lagi sesak apabila mereka (pengunjung) tiba di Little India kerana boleh terus belok ke kiri untuk ke Banda Hilir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, penambahbaikkan aliran trafik dijangka memberi manfaat ekonomi di kawasan sekitarnya.
Menurutnya, penyuraian trafik berkenaan membantu peniaga termasuk pengusaha penginapan mendapat lebih ramai pelanggan.
“Sistem trafik ini akan membantu peniaga dan pengusaha hotel kekal menjadi pilihan pengunjung. Mereka juga tidak lagi dibelenggu (masalah) penutupan jalan yang akan mengurangkan kedatangan pelancong ke hotel mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE