PETALING JAYA – ‘Favouritism’ atau pilih kasih boleh merosakkan organisasi dan masalah mental.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook menegaskan, ia berlaku apabila individu yang mempunyai kedudukan menunjukkan minat, memihak atau memberi layanan berlebihan kepada individu atau kumpulan tertentu.
“Ia menyebabkan berlakunya ‘double standard’ (pilih kasih). Sikap ini umpama barah yang boleh merosakkan satu organisasi apabila individu lain akan hilang motivasi dan mula rasa dipinggirkan.
“Semakin parah, sikap pilih kasih menyebabkan individu lain hilang keyakinan diri dan mengalami masalah mental,” jelas PHM.
Menurut PHM, pilih kasih juga ada di mana-mana selain organisasi, termasuk dalam keluarga mahupun perkhidmatan.
“Hentikan favouritism, berikan kredit dan merit atas pencapaian sebenar individu,” tulis PHM. – KOSMO! ONLINE