SIK – “Saya tidak menyangka budak itu dipukul dengan begitu teruk hanya kerana seekor kucing.”
Demikian luahan pengusaha Taska di Pulau Pinang, Siti Asma Mahadi, 40, yang mendakwa, anak angkatnya berusia lapan tahun itu disyaki dipukul seorang ustaz di sebuah madrasah di sini sehingga mengalami kecederaan termasuk lebam di bahagian punggung.
Katanya, kanak-kanak itu dan seorang lagi anak angkatnya berusia 10 tahun dihantar belajar di madrasah berkenaan pada Mei lalu.
“Saya mendapat tahu anak angkat berusia lapan tahun itu didera apabila membawanya keluar untuk makan sekitar pukul 6 petang, 11 November lalu. Setibanya di kedai makan, dia tidak mahu duduk.
“Sebelum itu ketika berada di dalam kereta juga dia hanya berdiri dan memeluk kerusi, saya sangkakan dia sengaja berdiri, mungkin peluk kerana terlalu rindukan saya,” katanya.
Cerita Siti Asma, anaknya itu turut menunjukkan perangai sama ketika mahu menjamu makanan apabila kanak-kanak itu masih terus berdiri sebelum saya menegurnya untuk duduk.
“Namun, abangnya, memberitahu, adiknya tidak mahu duduk kerana sakit akibat didenda dan dipukul oleh ustaz kerana membaling kucing kepada rakannya.
“Tidak sedap hati, saya terus memeriksa badannya dan terkejut dengan kesan luka yang teruk dan calar di bahagian punggung, tangan, badan dan kaki kanak-kanak itu,” ujarnya.
Siti Asma mendakwa, dia bertanya pada si abang kenapa tidak membantu adiknya, namun anaknya memberitahu dia diarahkan masuk ke dalam bilik.
“Anak saya hanya mampu mendengar jeritan minta tolong dan kesakitan adiknya yang dipukul di kawasan tempat makan,” dakwanya.
Siti Asma kemudian terus menghantar pesanan ringkas melalui kumpulan sekolah anaknya bertanyakan sebab-sebab kesalahan anaknya sehingga di dera sebegitu teruk.
“Ustaz yang merupakan mudir sekolah itu mohon maaf bagi pihak gurunya yang merupakan menantunya dan meminta agar tidak mengenengahkan kes tersebut, mohon belas kasihan bagi pihak menantunya yang akan menimang cahaya mata tidak lama lagi.
“Rayuan mereka tidak saya endahkan kerana kesan kecederaan dan trauma yang dialami oleh anak berusia lapan tahun itu terlalu serius, saya terus buat laporan kesihatan dan laporan polis pada malam itu juga,” ujarnya.
Siti Asma memberitahu, dia terus membawa kedua-dua anak angkatnya pulang ke rumahnya selesai makan malam.
Malah, ujar wanita itu, dia mahu agar anak angkatnya itu mendapat keadilan dan pembelaan yang sewajarnya dan tidak mahu pihak sekolah terus menganiayai pelajar-pelajarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berhubung anak angkatnya dirotan guru pada pada 11 November lalu, pukul 9.24 malam.
“Wanita tersebut datang ke madrasah itu mengambil anak angkatnya keluar makan sebelum melihat kesan lebam pada badan anaknya,” ujarnya.
Katanya, suspek lelaki berusia 27 tahun yang juga tenaga pengajar di madrasah ditahan keesokan harinya pukul 10.38 pagi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang kanak-kanak warga Indonesia berumur lapan tahun telah dirotan oleh suspek.
“Suspek menggunakan batang paip jenis pvc hingga mengakibatkan mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak. Pemeriksaan pakar perubatan mengesahkan bahawa mangsa mengalami ‘soft tissues injuries’,” ujarnya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek akan dituduh hari ini. – KOSMO! ONLINE