“Aktiviti ini bukan sekadar memberi ruang kepada saya untuk mengisi masa lapang, tetapi dalam masa yang sama dapat membantu masyarakat untuk membasmi haiwan perosak,” kata Zulkifli Mat Jusoh, 54, kepada K2 ketika fokus mencari tikus-tikus berkeliaran di sekitar kawasan pembuangan sampah.
Di tangannya, dia menggenggam erat sebilah lastik. Sebaik sahaja ada tikus-tikus yang muncul, dengan pantas getah lastik ditarik dan bebola timah yang dijadikan sebagai ammo atau peluru akan dilepaskan.
Sudah menjadi kebiasaan buat Zulkifli jika ada masa terluang dia akan menyertai rakan-rakannya yang lain dari komuniti Slingshot Malaysia untuk melastik haiwan-haiwan perosak.
Pada tengah malam sehingga awal pagi itu, dia bersama rakan-rakan yang lain telah melastik tikus di sekitar kawasan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Tambahnya, aktiviti itu turut memberi nostalgia waktu kecil kepadanya memandangkan lastik adalah permainan yang sering dimainkannya ketika kecil.
“Tikus ini pantas bergerak untuk menyorok ke dalam lubang jika ia merasa terancam.
“Di situ kepantasan dan ketepatan kita akan teruji sama ada kita dapat melastiknya atau tidak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengasas Slingshot Malaysia, Mohammad Samsul Fitri Nordin berkata, kumpulan itu menjadi platform untuk komuniti-komuniti lastik berkumpul.
Menurutnya, kumpulan itu juga menjalankan beberapa aktiviti berkaitan lastik merangkumi lastik sasaran, lastik ikan dan lastik haiwan perosak seperti tikus, burung gagak dan juga tupai.
“Di Kuala Lumpur, ada beberapa tempat yang mempunyai banyak tikus dan oleh itu kami menganjurkan aktiviti seperti ini. Selain dapat berkumpul, kami juga sama-sama dapat membasmi haiwan perosak ini,” katanya.
Menurutnya, dalam aspek waktu operasi, untuk haiwan-haiwan perosak seperti tikus, gagak dan tupai semuanya mempunyai waktu berbeza untuk dilastik.
Tikus misalnya hanya aktif pada waktu malam dan kebiasaannya aktiviti melastik haiwan itu akan bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi.
“Pernah pada satu malam sahaja kami pernah melastik lebih 40 ekor tikus,” jelasnya.
Artikel ini merupakan artikel rencana. Untuk membaca penuh sila baca di https://www.kosmo.com.my/2023/11/20/komuniti-lastik-haiwan-perosak/