KUANTAN – Seorang ibu tunggal kerugian RM170,408.50 setelah menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ seorang individu dikenali sebagai Fahad.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, menurut laporan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, wanita terbabit mengenali suspek yang merupakan seorang lelaki Melayu bernama Fahad Ramzan melalui laman sosial Instagram pada Oktober lalu.
Katanya, mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai pembantu tadbir badan berkanun itu kemudiannya mula berhubung dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp.
“Fahad telah berjanji untuk berkahwin dengan mangsa membuatkan mangsa lebih mempercayai Fahad,” katanya.
Yahaya juga memberitahu, suspek dikatakan meminjam wang mangsa sebanyak RM1,500 beberapa minggu selepas perkenalan mereka atas alasan untuk membuat pembiayaan bil hospital milik suspek dan berjanji akan memulangkannya semula.
“Sejak itu, Fahad berterusan meminjam wang mangsa lagi atas pelbagai alasan. Mangsa membuat sembilan kali transaksi bermula pada 24 Oktober sehingga 14 November lalu dan jumlah
keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM170,408.50,” ujarnya.
Yahaya justeru itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan individu tidak dikenali di media sosial.
“Orang ramai juga dinasihatkqn untuk tidak mudah mempercayai kenalan di media sosial. Selain itu juga, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti national scam response center NSRC) di talian 997 dan portal semak mule sebelum membuat pemindahan wang ke akaun yang tidak dikenali,” katanya. – KOSMO! ONLINE