fbpx

Empat lagi ditahan terlibat pelaburan Yomaex

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Menara KPJ, Kuala Lumpur hari ini. - Foto MOHD. FIRDAUS JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Empat individu disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan Yomaex ditahan polis baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan itu melibatkan empat lelaki berusia dalam lingkungan 37 hingga 63 tahun dengan tiga daripadanya berperanan sebagai pengarah syarikat dan seorang sebagai pencari akaun keldai.

Katanya, tangkapan itu sekali gus menjadikan jumlah tangkapan setakat ini ialah seramai 45 orang.

“Polis telah membuka sembilan lagi kertas siasatan melibatkan nilai kerugian RM5,173,262.75.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka terhadap skim penipuan pelaburan ini adalah 85 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM55,795,343.48,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Katanya, kes berkenaan masih diteruskan dan pihak polis sedang dalam tindakan untuk mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli-ahli sindiket yang lain.

Dalam pada itu, Ramli memaklumkan sebanyak 41 kes berhubung penipuan pelaburan CCF Trade dan EXGCOO 2023 sedang disiasat melibatkan kerugian sehingga RM8.05 juta.

“Laman sosial digunakan untuk mencari mangsa dan pulangan yang tinggi ditawarkan bagi setiap pelaburan yang dibuat.

“Skim pelaburan yang ditawarkan adalah berasaskan transaksi jual beli saham di Malaysia serta pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan Hong Kong,” ujarnya.

Ramli berkata, mangsa-mangsa skim pelaburan itu direkodkan berusia dalam lingkungan 29 hingga 79 tahun dan terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dengan majoritinya adalah pesara serta ahli perniagaan.

“Polis menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa skim penipuan ini untuk segera tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI