GEORGE TOWN – Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama digesa melihat isu berkaitan konflik di Semenanjung Gaza membabitkan rakyat Palestin dari segi kaedah sejarah dan kemanusiaan.
Teh Lai Heng (DAP-Komtar) berkata, seperti yang semua sedia tahu, dunia dikejutkan dengan berita dan perkembangan tragik di Semenanjung Gaza.
Menurutnya, konflik dan peperangan yang masih berterusan mengakibatkan kehidupan rakyat Palestin menjadi susah khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa serta rumah kediaman mereka.
“Saya ingin mengambil kesempatan menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat ini dari segi kaedah sejarah dan kemanusiaan. Jangan jadikan isu ini (Palestin) sebagai isu yang membezakan sikap kita terhadap apa itu kemerdekaan.
“Saya doakan agar semoga konflik dan serangan tersebut akan segera berakhir, sama-sama kita doakan kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat Palestin yang sedang berjuang,” katanya dalam sesi perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah kematian yang meningkat setiap hari di Gaza menyebabkan ruang tanah perkuburan semakin terhad dan jenazah terpaksa dikebumikan dalam keadaan menyayat hati.
“Konflik antara dua negara ini telah menyebabkan beribu-ribu mangsa terkorban yang kebanyakannya daripada kanak-kanak kecil dan remaja.
“Saya sangat memahami bahawa isu terkait Palestin sangat dekat di hati umat Islam dan saya berharap kita semua tidak melihat situasi getir menimpa rakyat negara itu sebagai isu agama semata-mata sebaliknya ia lebih daripada itu,” katanya. -KOSMO! ONLINE