fbpx

Dewan Rakyat: KPM rancang semua sekolah guna sistem satu sesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk mempunyai sistem satu sesi di semua sekolah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, perkara itu kini dalam pelan perancangan KPM.

“KPM berhasrat mencapai semua sekolah satu sesi. Semua ini dalam pelan perancangan KPM untuk mencapai setiap sekolah cuma ada satu sesi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (Sri Gading) mengenai cadangan kerajaan untuk melaksanakan sekolah satu sesi yang masih belum jadi kenyataan hingga hari ini.

Aminolhuda turut bertanyakan soalan mengenai langkah KPM menangani isu jumlah pelajar yang terlalu ramai dalam sesebuah kelas terutama di sekolah dalam kawasan padat.

Hui Ying berkata, nisbah murid kepada setiap kelas yang digalakkan tidak lebih 35 murid dan ketika ini ada kelas yang kurang 35 murid, tetapi ada juga antara 40 hingga 50 murid.

Kata beliau, KPM memantau perkara itu dengan serius termasuk sama ada terdapat keperluan untuk membina sekolah baharu di sesebuah kawasan khususnya di kawasan yang padat.

Terdahulu, katanya, KPM sentiasa peka dan prihatin tentang keperluan kemudahan infrastruktur bagi murid berkeperluan pendidikan khas di sekolah.

Menurut beliau, KPM memastikan setiap projek baharu pembangunan pendidikan mempunyai skop kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

“Sementara bagi sekolah-sekolah sedia ada, penyediaan empat kemudahan asas OKU meliputi tandas, parkir, susur tangan dan susur landai terus dilaksanakan secara berperingkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI