KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 berkaitan Unsur Nadir Bumi (REE) Julai lalu.
Tertuduh Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Hilmi didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn.Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 40, melalui seorang individu.
Ia sebagai dorongan bagi tertuduh sebagai Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi membantu syarikat itu untuk mendapat kelulusan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan REE di sekitar negeri Kedah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM150,000 daripada individu sama (Liana) dan dengan bagi tujuan sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Sunway Kiara Hills, Taman Sri Hartamas dan sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini masing-masing pada 4 Julai dan 11 Julai lalu (2023).
Justeru pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohamad Hilmi diikat jamin RM45,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan dan melapor diri pejabat SPRM sebulan sekali.
“Selain itu tertuduh juga dilarang menggangu saksi-saksi pendakwaan,” kata hakim Suzana.
Tarikh 12 Januari tahun depan ditetapkan sebutan semula kes.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Mohamad Hilmi diwakili peguam Syed Naqiuddin Wahab.
Sebelum ini media melaporkan Muhammad Sanusi mengesahkan memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu berkaitan REE di Sik.
Proses memberi keterangan kepada pegawai SPRM dibuat di pejabat Menteri Besar Kedah itu pada dua bulan lalu dan Muhammad Sanusi memaklumkan memberi kerjasama penuh bagi membolehkan siasatan kes berkenaan berjalan lancar.
Pada 18 Julai lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung kecurian REE yang dijalankan secara haram sehingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan. – KOSMO! ONLINE