KUALA LUMPUR – Atlet wushu negara, Wong Weng Son dinobatkan sebagai juara dunia selepas meraih pingat emas dalam acara Changquan lelaki pada Kejohanan Wushu Dunia 2023 berlangsung di Texas, Amerika Syarikat (AS) pagi tadi.
Ia sekali gus mengulangi pencapaiannya sewaktu edisi Kejohanan Wushu Dunia 2017 di Kazan, Rusia ketika menjuarai acara Jianshu.
Kejayaan tersebut juga mengubati kekecewaan atlet berusia 31 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan itu yang sebelum ini meraih perak acara Changquan pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China.
Kali ini, Weng Son berjaya menewaskan Seraf Naro Siregar dari Indonesia yang meraih pingat perak, manakala seorang lagi atlet negara, Clement Ting Su Wei menamatkan acara itu di tempat ketiga.
Menariknya, kejayaan kem wushu negara tidak terhenti di situ apabila menggondol tiga lagi pingat perak dan satu tambahan gangsa pada saingan di Pusat Konvensyen Fort Worth itu.
Dua lagi perak dimenangi oleh Clement Ting dalam acara Daoshu lelaki, Sydney Chin Sy Xuan menerusi kategori Taijijian wanita dan Loh Ying Ting untuk saingan Changquan wanita.
Bekas juara dunia, Tan Cheong Min turut terlepas menaiki podium apabila meraih gangsa menerusi acara Nangun wanita.
Sebagai rekod, skuad wushu negara tidak pernah gagal melahirkan juara dunia dalam penampilan pada Kejohanan Wushu Dunia sejak kali terakhir gagal melakukannya sewaktu edisi 2003 di Macau. – KOSMO! ONLINE