SHAH ALAM – Maestro muzik tanah air, Datuk Ramli MS melayangkan ciuman di pipi pengacara All Stars Gegar Vaganza (GV10) iaitu Nabil Ahmad secara langsung (live) bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-65 tahun.
Mencuri tumpuan pada siaran live program berkenaan, ketua juri program hiburan itu turut dikejutkan dengan pemberian sebiji kek yang tertera patung mirip dirinya di tengah-tengah bulatan kek seraya diampit patung persis Nabil dan seorang lagi hos, Jihan Muse.
Sebelum memulakan konsert minggu kesembilan, laungan antem atau lagu hari kelahiran turut dinyanyikan buat Ramli oleh orang ramai buat Ramli yang juga merupakan suami kepada penyanyi, Alyah itu.
Seperti kebiasaan, usia lanjut Ramli dijadikan bahan lelucon Nabil dan Jihan namun dipatahkan dengan jawapan bersahaja anak seni kelahiran Singapura itu.
Ketika Jihan menyanyikan lagu yang mengingatkan Ramli kepada kematian, Ramli membalas: “Mati itu pasti.”
Konsert minggu kesembilan GV10 bersiaran langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam dan dipancarkan secara live menerusi saluran 104 (Astro Ria). – KOSMO! ONLINE