LAS VEGAS – Juara dunia Formula Satu (F1) 2023, Max Verstappen terus tidak dicabar apabila berjaya melakar kemenangan kali ke-18 musim ini sejurus menawan Grand Prix (GP) Las Vegas semalam.
Biarpun dikenakan lima saat penalti selepas dikesan melakukan kesalahan pada awal perlumbaan dengan menghimpit pemandu Ferrari, Charles Leclerc ke luar litar namun ia tidak memberi masalah kepada pemandu Red Bull itu untuk muncul juara.
Leclerc yang memulakan saingan itu dipetak utama akur menamatkan perlumbaan tempat kedua selepas berjaya memintas rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez pada pusingan terakhir.
“Saya fikir saya telah mencipta perlumbaan yang agak baik di sini dan saya sangat seronok menamatkan saingan ini dengan kemenangan.
“Saya harap semua orang menikmatinya dan pastinya saya teruja untuk kembali ke sini tahun depan,” katanya.
Pada saingan tersebut, selepas Verstappen dikenakan penalti, Leclerc berjaya mendahului semula perlumbaan selepas memintas Verstappen pada pusingan ke-16.
Bagaimanapun, Verstappen tidak berputus asa dan bekerja keras merapatkan kedudukan setiap pusingan dan ia membuahkan hasil apabila berjaya memintas Leclerc pada pusingan ke-37.
Sejak itu, Verstappen tidak pernah menoleh ke belakang dan terus memecut laju untuk muncul juara perlumbaan tersebut. – AGENSI