fbpx

Turunkan ‘panglima’ hadapi ‘jeneral’ BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAJA MOHAMED AFFANDI (tengah) bersama penyokong parti di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman semalam. - PUQTRA HAIRRY

KUALA TERENGGANU – Pemilihan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dianggap sebagai usaha mengimbangi kekuatan pengaruh dan ketokohan calon Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, pemilihan Naib Presiden Pas itu berkemungkinan diputuskan pada saat-saat akhir setelah BN mengumumkan calonnya iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata, strategi BN mempertaruhkan calon bukan dalam kalangan ahli politik sa­ngat berkesan dan telah memberi impak positif kepada pengundi di Terengganu dan Parlimen Kemaman khususnya.

“Situasi dipercayai memaksa Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Ahmad Samsuri bagi mengurangkan impaknya.

“Sekiranya PN meletakkan calon lain, memang Pas dirasakan akan tetap mengekalkan (kerusi Parlimen) Kemaman, namun majoriti undi diperolehi dijangka terjejas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Ujar Azmi, sehubungan itu, keputusan menampilkan Ahmad Samsuri sebagai calon bagi mengelakkan majoriti undi diperolehi Pas pada 2 Di­sember ini merosot dengan ketara.

Jelas beliau, kebimbangan penurunan majoriti undi diterima itu faktor utama Ahmad Samsuri menjadi pilihan Pas berban­ding strategi menguatkan lagi pe­ngaruh PN di peringkat nasional mahupun bertujuan menonjolkan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Ru Redang tersebut sebagai calon Perdana Menteri daripada pembangkang.

Sementara itu, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin pula me­nganggap pemilihan Menteri Besar Terengganu itu sebagai strategi politik Pas yang kurang demokratik.

Beliau berkata, Pas jelas enggan mengambil risiko dengan tidak memberi pe­luang kepada muka-muka baharu untuk menonjolkan diri.

“Jelas ini kurang demokratik kerana dalam era kita menuju sistem demokrasi yang lebih terbuka, lebih ramai pemimpin atau pelapis generasi diharap dapat diberi peluang untuk menonjolkan kebolehan mereka.

“Walaupun berlaku di negeri-negeri lain (individu menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Besar) namun ia cerminan kurang baik dan tidak memperlihatkan keterbukaan demokrasi.

“Strategi politik sepatutnya tidak dilakukan semata-mata untuk kepentingan parti tetapi harus mendahulukan kepenti­ngan khalayak bagi mengangkat calon baharu berpotensi supaya mereka dapat menjadi barisan pelapis masa depan,” tambah­nya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI