PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjangkakan aksi kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Taiwan lebih sukar memandangkan terpaksa mengharungi perjalanan jauh ke tempat lawan.
Skuad kebangsaan dijadualkan berlepas ke Taipei pada hari ini dengan semangat juang tinggi selepas merekodkan kemenangan dramatik 4-3 ke atas pasukan ranking No. 97 dunia, Kyrgyzstan, Khamis lepas.
Pengendali import dari Korea Selatan itu percaya pasukannya telah melakukan persiapan terbaik untuk meneruskan rentak kemenangan dan berada di kedudukan lebih baik dalam Kumpulan D.
Kata Pan-gon, Harimau Malaya akan berdepan situasi berbeza apabila menentang Taiwan terutama aksi berkenaan akan berlangsung di gelanggang lawan.
“Bagi menjadi pasukan 18 terbaik di Asia, kami kena cabar diri untuk ke peringkat seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan itulah sasaran yang ditetapkan.
“Aksi seterusnya di tempat lawan pasti akan lebih sukar. Perlawanan di tempat lawan adalah berbeza termasuk dari segi persekitaran selain tekanan dalam kalangan pemain juga tinggi.
“Justeru, kami berharap dapat melakukan persiapan terbaik. Jika tidak dapat tiga mata, kami berdepan tugas sukar untuk ke pusingan seterusnya. Jadi, kami harus berjuang untuk menang,” katanya.
Di atas kertas, Malaysia dilihat tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan berdasarkan kedudukan ranking semasa memandangkan Taiwan di tempat 152 dunia.
Malah, motivasi skuad lawan kendalian Gary White itu dilihat agak tempang selepas tewas 0-3 kepada Oman pada aksi pertama kelayakan di Muscat, Khamis lepas.