fbpx

Terima panggilan Dick, Jenny melayang RM270,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUCHING – Seorang peniaga hanya tersedar ditipu setelah hampir sebulan melabur dalam skim pelaburan tidak wujud, membuatkan wang pelaburannya sebanyak RM270,000 hangus.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata semasa berada di rumah di Kuching pada 25 Oktober lalu, mangsa yang melayari Facebook telah tertarik dengan pelaburan itu lalu berhubung dengan suspek bernama Dick dan Jenny melalui panggilan telefon bagi mendaftar pelaburan berkenaan.

Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa yang berusia lewat 50-an kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bernama ‘Whale Program (Dolhins) yang diketuai oleh suspek bernama Kevin sebagai pengerusi dan Dick sebagai guru yang mengajar mengenai pelaburan itu.

“Mangsa yang berminat telah ditawarkan pulangan keuntungan sebanyak 20 peratus bagi setiap kali membuat pelaburan dan untuk urusan pelaburan, mangsa diberikan APK File dan mendaftar dalam aplikasi EXGCOO.

“Mangsa telah melakukan 10 kali transaksi pindahan wang secara berperingkat bermula hujung Oktober hingga pertengahan November kepada tiga akaun bank yang berbeza berjumlah kira-kira RM270,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya mangsa menyedari ditipu apabila suspek memintanya membuat pembayaran tambahan sedangkan dia belum mendapat apa-apa keuntungan dari pelaburan berkenaan, dan segera membuat laporan polis kelmarin untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Mancha berkata pihaknya turut menerima laporan daripada seorang pakar kecantikan di Sibu kelmarin, yang kerugian kira-kira RM120,000 akibat terpedaya dengan pulangan berganda yang ditawarkan sindiket pelaburan Bitcoin.

Katanya pada 15 November lalu, wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu telah menerima mesej dari suspek bernama Vincent melalui WhatsApp, yang menawarkan pelaburan pembelian duit digital ‘Bitcoin’ berjumlah RM10,000 dan mangsa akan mendapat pulangan sekali ganda sebanyak RM20,000.

Beliau berkata mangsa yang berminat kemudian membuat 12 kali transaksi pindahan wang sebanyak RM120,000 secara berperingkat kepada lima akaun bank yang berbeza pada 16 November lalu.

“Mangsa sedar ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang serta keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan itu,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI