fbpx

Rakyat Palestin pilih tidur sepanjang minggu lepas perang tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara reaksi yang dikongsikan warga Palestin.

PETALING JAYA – Rata-rata rakyat di Palestin mahukan tidur yang lama, selain mencari ahli keluarga masing-masing sekiranya negara mereka bebas dari serangan rejim Zionis.

Mereka dilihat terlalu penat apabila setiap saat kehidupan yang dijalani penuh dengan detik berjaga-jaga apabila serangan tanpa henti oleh tentera Israel sejak 7 Oktober lalu sehingga ke hari ini.

Lebih 11,000 penduduk terkorban dalam tempoh 43 hari dan ratusan ribu bangunan musnah akibat ledakan bom daripada pelbagai sudut di Gaza.

Seorang jurugambar Palestin, Motasem Mortaja, berkongsi video memaparkan luahan rakyat negaranya ketika ditanya apakah perkara pertama yang akan mereka lakukan sekiranya konflik Palestin-Israel ini berakhir.

“Apa perkara pertama yang anda akan buat jika perang tamat?,” soal Motasem menerusi video yang dimuat naiknya di Instagram baru-baru ini.

“Saya akan tidur. Saya mahu tidur sepanjang minggu,” jawab seorang penduduk dalam keadaan dirinya yang kelihatan sangat penat.

“Saya nak cari rumah baharu, tempat berlindung sebab rumah saya dah musnah kena bom. Saya mahu tidur dengan tenang,” balas seorang penduduk Palestin.

“Saya akan cari dan berjumpa keluarga saya. Saya dah lama tak jumpa keluarga saya sejak perang bermula,” kata seorang wartawan Palestin.

“Saya rindukan anak saya, saya akan cari mereka, saya akan duduk dengan mereka dan lupakan tentang masalah dunia,” balas seorang rakyat.

Setiap jawapan yang dikongsikan mereka ternyata menyentuh hati ramai apabila di ruangan komen video tersebut, pelbagai reaksi diberikan pengguna media sosial.

“Ya Allah, hapuskan tentera Israel, merdekakan la bumi Palestin, bebaskan rakyatnya. Makbulkan doa mereka yang tertindas, tempatkan syurga sebagai ganjaran buat mereka (rakyat Palestin),” luah Fahmie.

“Keep strong, free Palestine (tetap kuat, bebas Palestin),” komen Nourishz.

Dalam pada itu, video tersebut turut dikongsikan menerusi Instagram, Cinta Gaza Malaysia dan mendapat lebih 430,000 tontonan.

Terdahulu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mendesak Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden supaya campur tangan dan memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan operasi ketenteraan darat di Gaza.

Mahmoud juga menyeru Biden memainkan peranan sewajarnya untuk menghentikan malapetaka kemanusiaan yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai warga Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI