fbpx

Rakyat Malaysia makan sedap, manis berisiko hidap diabetes – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha (tengah) pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Madani Afiat dan Jelajah ANMS Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 di SMK Bukit Gambir, hari ini. -Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI/KOSMO!

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) melahirkan kebimbangan terhadap risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) apabila jumlah penghidap hipertensi dan diabetes di negara ini dilaporkan meningkat selepas pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, situasi tersebut sememangnya membimbangkan pihaknya berikutan kedua-dua penyakit kronik itu memerlukan rawatan secara berterusan.

Menurutnya, hasil saringan terhadap sejumlah 2,701 penduduk berusia 18 tahun ke atas menerusi perlaksanaan program Madani Afiat, seramai 978 individu dikesan menghidap darah tinggi manakala 681 individu menghidap kencing manis.

“Saringan ini dijalankan semasa lawatan dari rumah ke rumah yang dilakukan di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Perak, dan Melaka. Pulau Pinang merupakan negeri ketujuh perlaksanannya.

“Selain itu, 674 individu dikesan berisiko tinggi mendapat darah tinggi dan 393 individu berisiko tinggi mendapat kencing manis. Kesemua individu yang dikesan berisiko telah dirujuk untuk pemeriksaan lanjut dan ujian pengesahan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, hari ini.

Dalam pada itu katanya, aktiviti saringan kesihatan amat penting dalam menyediakan penjagaan kesihatan awal dan pencegahan penyakit dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat Malaysia makan sedap, makan manis-manis, berisiko menghidap NCD ini sehingga mengakibatkan komplikasi kerosakan organ-organ penting tubuh seperti buah pinggang, mata dan jantung.

“Kami adakan program advokasi tentang literasi kepada rakyat dan akhir-akhir ini khususnya selepas pandemik Covid-19, trend kepada NCD iaitu penyakit hipertensi, kencing manis dan jantung meningkat.

“Kami mahu supaya rakyat berani tampil ke depan dan pada kali ini (Madani Afiat), kami terus ke komuniti dan mereka boleh terus ke fasiliti yang disediakan secara percuma,” jelasnya KKM menyasarkan sebanyak 1.5 juta saringan sehingga penghujung tahun ini.

Justeru beliau menambah, penting untuk rakyat Malaysia membuat pengesanan awal supaya pencegahan dan kawalan dapat diambil segera demi mencegah lebih banyak komplikasi yang bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan diri malah ekonomi dan keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI