KOTA BHARU – Tiada cuti khas diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun, kerajaan tidak menghalang pelajar untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi meskipun tiada cuti khas.
Menurutnya, proses pengundian berjalan pada hari Sabtu yang juga merupakan cuti hari minggu selain tiada kelas pengajian dijalankan di semua IPTA ketika itu.
“Tiada cuti khas (untuk PRK Kemaman). Sekiranya ada rasa tanggungjawab untuk pulang mengundi, kita tidak halang.
“Hari mengundi jatuh pada hari Sabtu. Jadi, memang tiada kelas pada hari tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE