fbpx

PRK Kemaman: Kalau letak botol air mineral pun, Pas yakin menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris (tengah) membacakan doa sewaktu mengiringi Ahmad Samsuri (kiri) pada hari penamaan calon PRK Kemaman di MPK, Kemaman semalam.

KEMAMAN – Pas optimis momentum pengundi Terengganu yang memberi sokongan padu kepada parti itu akan berterusan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, rakyat negeri ini jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Perpaduan apabila memberi kemenangan penuh lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu.

“Saya pasti rakyat Terengganu tidak rela untuk ‘memecahkan telur’. Jadi, kita kena pastikan 40-0 (lapan kerusi Parlimen, 32 kerusi DUN) tetap kosong.

“Sebelum ini, kita menang (kerusi Parlimen Kemaman) dengan majoriti lebih 27,000. Adat kata, letak botol (air) mineral pun, Insya-Allah boleh menang,” katanya sewaktu berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Pekan Kijal di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Idris mendakwa walaupun Kemaman pernah dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tidak ramai pemimpin parti tersebut menawarkan diri untuk bertanding pada PRK kali ini.

Dakwa beliau, ia disebabkan parti lawan menyedari peluang untuk memenangi PRK Kemaman amat tipis.

“Mereka ibarat bersedia untuk kalah, sebab itu calon yang dilantik pun bukan ahli politik tetapi bekas tentera.

“Kononnya mahu tarik sokongan (pengundi) Melayu dengan menunjukkan UMNO, PKR, Amanah dan DAP masih mengutamakan orang Melayu dengan melantik bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” dakwanya.

Idris berkata, walaupun BN mempertaruhkan bekas Panglima ATM, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor namun beliau yakin pengundi Kemaman tetap akan memilih calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI