GUA MUSANG – Lebih 70 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Kelaik, Pos Blau di sini bertempiaran selepas seekor gajah liar dewasa muncul di halaman rumah mereka petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, penduduk yang tinggal di 24 buah rumah di perkampungan tersebut melarikan diri menuju ke jalan Gua Musang-Lojing untuk menyelamatkan diri.
Seorang penduduk, Uda Busu, 42, gajah tersebut muncul buat pertama kalinya di kampung itu kelmarin dengan merosakkan tanaman penduduk.
Katanya, selang sehari, gajah berkenaan muncul di halaman rumah dan menghampiri sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di kawasan rumah petang semalam.
“Seorang bayi berusia sembilan bulan merupakan antara lebih 70 penduduk yang diselamatkan selepas melihat seekor gajah liar dewasa menceroboh kawasan kampung. Kami semua lari meninggalkan rumah dan menunggu di tepi jalan kerana risau gajah tersebut naik minyak.
“Kami tunggu sehingga benar-benar yakin gajah itu kembali ke hutan dan balik ke rumah semula kira-kira pukul 3 pagi tadi. Kami dapati sisa makanan dan kuali dari dua buah rumah berselerak di atas tanah dipercayai angkara gajah terbabit,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Sementara itu, Penghulu Pos Blau, Salleh Angah, 60, pula berkata, dia berharap isu ini dapat ditangani segera oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menjamin keselamatan penduduk yang berdepan dengan ancaman haiwan liar tersebut.-KOSMO! ONLINE