DOHA – Ketua pasukan Pramac Racing bersedia untuk ‘campur tangan’ dalam memastikan pelumba utama pasukan itu mendapat bantuan secukupnya menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar tengah malam ini.
Bos pasukan Pramac, Gino Borsoi mengesahkan arahan pasukan (team order) akan diberikan kepada pelumba No. 2, Johann Zarco andai bantuan diperlukan jaguh utama pasukan, Jorge Martin pada perlumbaan nanti.
“Zarco adalah pelumba Pramac, rakan sepasukannya (Martin) sedang berjuang dalam perebutan gelaran dunia dan sudah tentu jika ada keperluan, saya akan memberikan arahan rasmi pada hari perlumbaan nanti.
“Dalam masa yang sama, Zarco juga perlu fikirkan peluangnya untuk menamakan saingan MotoGP musim ini di kedudukan terbaik.
“Saya harap pasukan bersedia untuk mengharungi perlumbaan di Qatar kali ini walaupun tekanan yang dihadapi agak tinggi. Namun, saya pasti Bagnaia lebih tertekan memandangkan dia adalah juara bertahan,” katanya.
Sementara itu, bos Ducati, Davide Tardozzi turut mengesahkan hubungan Bagnaia dan rakan sepasukan, Enea Bastianini cukup harmoni kerana mereka berdua saling membantu antara satu sama lain.
“Bastianini telah membuktikan pengorbanannya apabila mempamerkan perlumbaan mantap di GP Malaysia minggu lalu. Bagnaia juga sering memberikan kata-kata semangat buatnya dan harap momentum positif kami dapat diteruskan pada GP Qatar kali ini,” katanya. – AGENSI