JOHOR BAHRU – Golongan lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual dinasihatkan agar lebih berani untuk mengikis perasaan malu dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, golongan itu didapati lebih gemar memendam perasaan sekiranya insiden itu terjadi kepada mereka.
“Daripada keseluruhan aduan diterima berkaitan gangguan seksual, hanya sekitar 10 peratus sahaja melibatkan mangsa lelaki sedangkan mereka juga terima gangguan seksual sama ada berbentuk sentuhan atau lisan.
“Oleh itu, kita galakkan golongan lelaki untuk lebih berani dan tampil membuat aduan, ini termasuklah juga dalam kalangan kanak-kanak, khususnya pelajar sekolah. Kita tidak mahu ada kesulitan dalam menerima aduan sama ada lelaki atau wanita, layanan seharusnya tiada beza.
“Gesaan ini dibuat kerana kita dapati tahap kesedaran masih rendah, atau mereka takut implikasi kerana kebiasaannya pelaku gangguan seksual di tempat kerja melibatkan pegawai atasan mereka. Kita tahu laporan polis tidak ramai buat tetapi di pihak kementerian, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kita terima banyak aduan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Johor yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE