BANDAR GAZA – Askar-askar Israel dilaporkan melanggar disiplin dan bertindak secara tidak teratur ketika melakukan pencerobohan di Semenanjung Gaza, lapor laman berita Middle East Monitor hari ini.
Menurut media Israel, pegawai-pegawai tentera menyembunyikan masalah mengenai askar yang terlibat dalam isu disiplin sehingga membawa kepada beberapa ‘insiden serius’ di wilayah Palestin itu.
Seorang komander tentera berkata, dia melihat askar-askar bermain bola sepak, berenang di perairan Gaza dan menconteng dinding rumah-rumah penduduk Palestin.
Mereka juga dilaporkan menanam pokok yang dibawa dari luar Gaza selain berlumba kenderaan.
Seorang veteran tentera Israel menerima maklumat bahawa beberapa kenderaan berperisai, kereta kebal dan jentolak tentera terlibat dalam perlumbaan ke garisan penamat.
“Selalunya, ada seorang pemandu yang mahu tiba dahulu atau seseorang yang memintas garisan sebelum kemudian berlakunya ketegangan antara mereka,” katanya.
Tambah sumber itu, terdapat satu insiden sebelum ini yang berakhir dengan pelanggaran antara kenderaan berat sehingga membawa kepada kerosakan serta menyebabkan kematian anggota tentera.
“Ini menunjukkan masalah disiplin yang berat di kawasan itu dan perlu ditangani segera,” katanya.- AGENSI