WASHINGTON – White House menafikan beberapa laporan media yang mengatakan bahawa Zionis dan Hamas sudah mencapai perjanjian penangguhan serangan selama lima hari untuk membebaskan tebusan wanita dan kanak-kanak Israel di Semenajung Gaza.
“Kami belum mencapai perjanjian lagi tetapi akan terus bekerja keras untuk mencapainya,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, Adrienne Watson di platform X.
Akhbar Washington Post sebelum itu mendedahkan mengenai perjanjian enam muka surat berhubung pembebasan tahanan dalam beberapa hari akan datang sekali gus menjadikannya jeda pertama dalam konflik Palestin-Israel.
Memetik sumber tidak dinamakan, akhbar itu melaporkan bahawa semua pihak akan menghentikan operasi pertempuran selama sekurang-kurangnya lima hari dan beberapa tebusan akan dibebaskan secara berkelompok.
Bagaimanapun, White House dengan pantas menafikan khabar angin tersebut hari ini.
Penasihat utama Presiden Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, Brett McGurk berkata, jeda dalam peperangan akan berlaku sekiranya tebusan yang ditahan Hamas di Gaza dibebaskan.
“Lonjakan bantuan kemanusiaan, bahan api dan jeda akan berlaku apabila tebusan dibebaskan,” kata McGurk dalam persidangan keselamatan di Bahrain.
McGurk berkata, Biden telah membincangkan isu itu pada petang kelmarin bersama pemerintah Qatar yang mengetuai usaha perjanjian ke arah gencatan senjata dan pembebasan tawanan. – AFP