JOHOR BAHRU – Komuniti masyarakat Melayu Champa di sini mahu tindakan tegas diambil terhadap wanita Kemboja yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur rasis terhadap masyarakat Melayu di negara ini.
Wakil Persatuan Melayu Champa Ulu Tiram, Mohamad Nasir Razali, 34, berkata, kenyataan wanita itu sebaliknya tidak mewakili pandangan masyarakat Melayu Champa terhadap rakyat Melayu secara keseluruhan di negeri ini.
“Kami harap tindakan tegas dapat diambil. Hal ini kerana kenyataan seperti itu boleh menyebabkan berlaku ketegangan dalam masyarakat sehingga mengancam keselamatan komuniti kami,” katanya kepada pemberita.
Seorang lagi wakil persatuan itu, Zulkifli Zakaria, 37, pula memberitahu, kenyataan dibuat wanita terbabit memberi imej buruk kepada komuniti tersebut yang mempunyai hubungan baik dengan masyarakat Melayu di sini.
“Kenyataannya tidak boleh diterima sama sekali dan laporan polis dibuat terhadapnya di Balai Polis Ulu Tiram hari ini,” kata peniaga itu.
Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat memaparkan seorang wanita sedang mengadakan pentstriman langsung di sebuah gedung pakaian muslimah.
Difahamkan, wanita itu yang juga pemilik gedung tekstil yang menjalankan perniagaan jahitan pukal di Skudai, Johor. Menerusi rakaman video tersebut, wanita itu mengakui dirinya warga Kemboja, tetapi sudah lama menetap di Malaysia.-KOSMO! ONLINE