KOTA TINGGI – Sebuah kem menempatkan seramai 350 pekerja warga Bangladesh di Bayu Damai Pengerang, di sini yang beroperasi tanpa permit diserbu pihak berkuasa hasil aduan penduduk yang rimas dengan kehadiran golongan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam operasi bersepadu itu, pihaknya menahan 11 warga Bangladesh kerana tinggal tanpa pas yang sah di negara ini.
Katanya, operasi selama dua jam bermula pukul 11 pagi itu melibatkan 134 anggota Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor.
“Seramai 11 pekerja dibawa ke depoh Imigresen Johor Bahru untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) C Akta Imigersen 1959/63.
“JTK turut mengeluarkan saman atau notis kepada pengurus peginapan di bawah Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan.
“MPP pula mengeluarkan satu notis di bawah Seksyen 70 (Akta 133) atas kesalahan bangunan tanpa permit,” katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi itu hari ini.
Menurutnya, punca kebanjiran warga Bangladesh di daerah ini dipercayai kerana dijanjikan peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas di Pengerang.
“Pihak polis sudah kenal pasti beberapa lagi kem di Kota Tinggi khususnya Pengerang yang menempatkan 2,600 ke 3,000 warga Bangladesh yang tinggal atau transit bagi tujuan kerja. – KOSMO! ONLINE