fbpx

Hentak kaki abang, kejar ibu guna parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG JAYA – Gara-gara tidak berpuas hati keluarga melarang berhubung dengan kekasih, seorang lelaki tempatan mengamuk mencederakan abang dan mengejar ibunya menggunakan sebilah parang sekitar kawasan perumahan di Jalan 10 Pandan, di sini, 1 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pengadu merupakan abang kepada suspek telah tampil membuat laporan berhubung kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, pengadu berusia 26 tahun itu didatangi suspek yang membawa parang lalu bertindak menghentak pada kaki kiri mangsa.

“Abang suspek mengesyaki suspek berubah menjadi tidak waras selepas menghisap vape. Akibat hentakan tersebut, mangsa yang merupakan peniaga itu mengalami kecederaan pada kaki.

“Suspek seterusnya mengejar ibunya dengan parang tersebut sehingga ke rumah jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azam, suspek berusia 19 tahun itu berjaya ditahan pada pukul 7 malam pada Rabu lalu oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya.

“Kita merampas sebilah parang sepanjang 25 inci yang disyaki digunakan dalam kes yang disiasat.

“Hasil semakan mendapati, suspek yang tidak bekerja terbabit mempunyai tiga rekod jenayah serta dua rekod narkotik,” ujarnya.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap keluarga kerana melarang suspek berkawan dengan teman wanitanya.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang untuk tujuan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan reman dibenarkan selama empat hari bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,”tambahnya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan dengan sengaja menyebabkan cedera dengan senjata atau membuat ugutan jenayah sehingga mendatangkan ketakutan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI