DALAM kehidupan, semua orang dikurniakan dengan kepandaian masing-masing.
Ada yang dilahirkan dengan kepandaian sehingga membolehkan seseorang itu menyambungkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi dan menjawat jawatan penting.
Namun begitu, ada juga yang tidak bernasib baik dan memiliki kekurangan dalam pelajaran.
Itulah nasib yang dihadapi oleh seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Zairi.
Disebabkan faktor itu, dia merasakan dirinya seperti dipinggirkan oleh keluarganya sendiri.
“Kesemua adik-beradik saya pandai dalam pelajaran sehingga berjaya menyambung pengajian di luar negara.
“Nasib saya tidak begitu. Boleh dikatakan saya agak lembab dalam pelajaran,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.
Disebabkan kekurangannya itu, Zairi menjelaskan, dia bukanlah anak kesayangan ibu bapanya berbanding adik-beradik lain.
Kedua-dua ibu bapanya amat mementingkan pelajaran. Anak-anak yang pandai serta berjaya adalah satu kebanggaan kepada mereka.
Ibu bapanya menjawat jawatan yang penting dalam sektor kerajaan.
Sejak kecil, Zairi sudah berasa tertekan apabila terlalu ditekan oleh ibu bapanya untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan.
“Saya cuba belajar bersungguh-sungguh, tetapi masih gagal mendapat keputusan cemerlang.
“Ibu bapa saya langsung tidak menghargai usaha saya. Zaman kecil saya tidak seperti orang lain yang bebas bermain,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Zairi berkata, dia terguris hati dengan kata-kata ibu bapanya sejak kecil.
Malah, ibunya sendiri pernah mengakui bahawa malu mempunyai anak sepertinya.
Ini kerana, rakan ibunya itu merupakan guru kepada Zairi dan mengetahui bahawa dia berada di kelas belakang di sekolah.
Pada masa sama, ungkapan seperti bodoh, bengap, lembab bukan hanya dilemparkan oleh ibu bapanya. Bahkan, adik-beradik yang lain turut menyatakan perkataan sama.
“Ada satu ketika, saya ditinggalkan bersendirian di rumah dan ibu bapa serta adik-beradik saya yang lain keluar makan.
“Saya ditinggalkan sebagai satu bentuk hukuman. Ini kerana saya tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” ujarnya.
Terkadang Zairi menangis bersendirian dan mempersoalkan sebab dia tidak dikurniakan kepandaian seperti adik-beradiknya yang lain.
Malah, terdetik di hatinya untuk lari keluar dari rumah.
Dalam pada itu, Zairi mengakui bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya tidak cemerlang.
Pada ketika itu, dia langsung tidak mempunyai keinginan untuk belajar kerana tidak diberi motivasi oleh keluarganya.
Malah, keluarganya mengatakan bahawa dia akan mendapat keputusan teruk dalam peperiksaan tersebut.
“Setelah tamat SPM, keluarga saya meminta saya untuk terus bekerja.
“Mereka tidak mahu menghabiskan duit untuk saya melanjutkan pelajaran.
“Pada ketika itu, saya mempunyai keinginan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran kulinari,” terangnya.
Setelah tamat alam persekolahan, Zairi terus bekerja di beberapa kedai makan untuk mencari pengalaman.
Beberapa tahun selepas itu, dia berhijrah ke ibu kota untuk mencari pekerjaan.
Pada masa sama, dia mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Setelah berhijrah ke ibu kota, Zairi tidak mempunyai hati untuk kembali ke kampung apabila mengenangkan nasibnya yang disisihkan keluarga.
Biarpun tidak bernasib baik dalam aspek pelajaran, namun Zairi mempunyai keinginan untuk memajukan diri.
Dengan simpanan yang ada, dia mengambil keputusan untuk mendalami bidang kulinari dengan lebih mendalam.
Dengan kemahiran yang dimiliki, Zairi boleh tersenyum apabila diterima bekerja sebagai cef di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
“Saya mempunyai keinginan untuk mengusahakan sebuah restoran pada masa hadapan.
“Saya ingin membuktikan kepada keluarga, meskipun tidak pandai dalam pelajaran, namun saya masih boleh berjaya,” ujarnya dalam nada sedih.
Malah, Zairi sempat menitipkan pesanan buat ibu bapa di luar sana supaya jangan meminggirkan anak-anak yang kurang pandai dalam pelajaran.
Dia pernah merasai pengalaman itu dan mengetahui betapa sakitnya diperlakukan sedemikian rupa.
“Kejayaan seseorang itu bukan hanya boleh diukur dalam pelajaran sahaja.
“Anak-anak yang tidak pandai, jika diberi peluang sama adil, mereka juga boleh mencapai kejayaan,” ujarnya sebelum menutup bicara.