fbpx

‘Awan hitam naik Gunung Inas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORHIDAYU gusar apabila melihat awan hitam menyelubungi Gunung Inas di Kampung Iboi, Baling semalam.

BALING – Berkali-kali menghadap banjir sama ada kepala air atau banjir kilat, ia memberi kesan trauma yang amat mendalam kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Iboi, Kupang, di sini.

Manakan tidak, apabila terpandang sahaja awan hitam di puncak Gunung Inas dan kawasan sekeliling kampung, pelbagai perasaan cemas, takut, dan trauma menerjah bersilih ganti.

“Tengok, awan hitam sudah naik ikut Gunung Inas, cuaca di kampung pun sudah mendung, bila keadaan seperti ini perasaan takut datang sendiri, bimbang jika berlaku banjir lagi, takut tidak sempat selamatkan diri.

“Tahun ini sahaja, sudah le­bih tiga kali kami hadapi banjir dan yang paling teruk pada 27 September lalu, hampir serupa peristiwa 4 Julai tahun lalu, nasib baik kami sempat selamatkan diri walaupun ada mangsa terkepung dalam rumah kerana air melepasi paras kepala,” kata Rahmah Din, 59, ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

RAHMAH melihat hakisan tebing sungai yang semakin teruk di belakang rumahnya di Kampung Iboi semalam.

Rahmah amat takut jika hujan lebat kerana meskipun rumah­nya terselamat setelah berkali-kali banjir, namun struktur rumah serta tebing sungai kian terhakis, kini tinggal dua meter sahaja dari gigi sungai.

“Jika berlaku banjir besar sekali lagi, mungkin rumah yang didiami tujuh anak dan cucu ini pasti dihanyutkan air,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini halaman rumahnya menjadi laluan air sungai.

“Di belakang rumah pula telah terhakis dan retak dindingnya, cuma menanti masa untuk runtuh jika tidak dilakukan sesuatu untuk menahan tolakan air su­ngai yang deras,” katanya.

Seorang peniaga gerai, Norhidayu Hamzah, 31, pula berkata, perasaan bimbang terhadap banjir menjadikan dia tidak ‘senang duduk’ ketika berniaga berhampiran jambatan Bailey yang dibina ketika kepala air tahun lalu.

“Tengok sahaja awan hitam berarak atas Gunung Inas, hati ini sudah gundah gulana bimbang banjir besar berlaku lagi dan air Sungai Kupang melimpahi tebing dan memenuhi jambatan Bailey. Kami risau tidak boleh menyeberang untuk pulang ke rumah di Kampung Bukit Iboi.

“Ketika berniaga, saya terpaksa meninggalkan dua anak bersama suami di rumah untuk uruskan persekolahan mereka. Banjir kilat pada Rabu lalu juga menyebabkan saya takut kerana jambatan itu hampir rosak dan kini hanya basikal, motosikal dan penjalan kaki yang dibenar melaluinya,” katanya.

JAMBATAN Bailey yang rosak hanya boleh dilalui oleh pengguna bermotosikal.

Ceritanya lagi, kira-kira pukul 4 petang, ketika banjir pada Rabu lalu, air sungai mulai melimpahi tebing dan dia hanya pasrah apabila melihat dari jauh gerainya yang sejauh 10 meter dari tebing sungai itu sudah dimasuki air

“Mujur barangan niaganya telah diletakkan di tempat yang tinggi. Penduduk kampung yang menggunakan kereta, lori dan sebagainya tidak lagi boleh melalui jambatan tersebut untuk ke Pekan Kupang,” katanya.

Penduduk Kampung Padang Empang, Siti Rozana Abdullah, 32, pula berkata, walaupun telah lali dan berkali-kali menghadap banjir sejak dari kecil, namun perasaan takut dan cemas amat berbeza kali ini.

“Sejak kecil saya menghadapi banjir, dulu cuma paras pinggang dan paling teruk paras dada sahaja, tetapi kali ini hampir menenggelamkan rumah kami walaupun dua tingkat tingginya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI