WASHINGTON – Apple dan Walt Disney menjadi antara syarikat gergasi terbaharu yang menggantung pengiklanan di platform X selepas memutuskan hubungan dengan laman media sosial itu lewat kelmarin.
Agensi berita United Press International (UPI) melaporkan, keputusan itu dibuat sebagai tindak balas kepada komen pemilik syarikat X, Elon Musk awal minggu lalu yang dilihat sebagai anti-Semitik.
Bukan itu sahaja, Kesatuan Eropah (EU), syarikat teknologi IBM dan Lions Gate Entertainment pada Jumaat lalu juga mengesahkan pihaknya telah menggantung pengiklanan di platform X.
“Kami telah menyaksikan peningkatan membimbangkan maklumat palsu dan ucapan kebencian di beberapa platform media sosial dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan X pastinya terlibat dalam hal itu,” kata jurucakap Suruhanjaya Eropah, Johannes Bahrke.
Rabu lalu, Musk membalas satu hantaran di X mengenai satu teori konspirasi yang mendakwa bahawa orang Yahudi menghasut kebencian terhadap orang berkulit putih.
Bilionair itu dilihat bersetuju dengan hantaran berkenaan dengan menulisnya sebagai ‘kebenaran sebenar’. Dia bagaimanapun menafikan hantaran itu sebagai anti-Semitik.
Dalam pada itu, Musk dilihat bertegas dengan tindakannya dalam satu hantaran kelmarin.
“X Corp akan memfailkan satu tuntutan undang-undang terhadap Media Matters dan semua yang bersekongkol dalam serangan penipuan ke atas syarikat kami,” tulis Musk. – AGENSI