PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disahkan sihat walaupun telah menjalani satu pembedahan di sebuah hospital, Khamis lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah menerusi satu hantaran di laman Instagramnya sebentar tadi sambil turut memuat naik sekeping gambar sedang bersarapan bersama bapanya.
Dalam hantaran terbabit, beliau memaklumkan bahawa sepatutnya pembedahan tersebut dilakukan lebih awal tetapi hanya dapat dijalankan Khamis lalu akibat kekangan masa dan jadual padat Ahmad Zahid.
“Saya mengambil maklum berita kesihatan Abah saya yang tular di sosial media, secara peribadi dan rendah diri, saya menghargai keperihatinan dan doa daripada posting, komen dan tidak kurang juga daripada mereka ‘yang terpaling tahu’.
“Alhamdulillah abah saya sihat setelah menjalani satu prosedur pembedahan pada Khamis, ia seharusnya dilakukan lebih awal lagi, kerana kekangan masa dan jadual yang padat. Begitulah Abah. Kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri,”tulisnya.
Nurulhidayah berkata, inilah masa yang sebaiknya gunakan mereka sekeluarga untuk bersama menyantuni bapanya itu kerana ia menjadi sumber semangat untuk kembali pulih dan sihat supaya dapat meneruskan khidmat kepada negara.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memainkan berita mengenai sakit atau matinya seseorang itu.
“Jangan suka-suka mendoakan yang tidak baik. Berita yang tak pasti dan tak sahih jangan kongsi. Apa sahaja doa yang baik atau tidak itu akan kembali kepada kita.
“Semoga Allah menjauhi kita dan keluarga kita dari sakit yang memudaratkan serta terus melindungi kita semua dunia akhirat,” katanya.
Terdahulu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard menerusi perkongsian di laman Facebooknya semalam memaklumkan bahawa Ahmad Zahid telah menjalani satu pembedahan membuang ketumbuhan disyaki kanser prostat.
Jelasnya, berdasarkan sumber Ahmad Zahid mendapat cuti seminggu untuk berehat dan pemulihan.
“Di doakan beliau sihat dan tak ada yang serius. Kita bertembung ketika sihat tapi bila sakit atau ditimpa musibah kita doakan yang terbaik bukan kawan mahupun lawan,”katanya.-KOSMO! ONLINE