KOTA BHARU – Sebanyak 160 pangkalan hadapan atau kawasan penempatan awal logistik akan beroperasi di seluruh negeri Kelantan sebagai persediaan bagi mengharungi bencana banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri negeri, Rohani Ibrahim berkata, sehubungan itu, sebanyak 70 pembekal barangan keperluan bencana dan 108 pembekal pek makanan siap masak juga telah dilantik di semua daerah.
Menurutnya, selain itu, seramai 7,147 anggota dan petugas akan terlibat dalam persediaan sumber tenaga kerja, aset termasuk peralatan.
“Jumlah itu melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Maaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 agensi lain.
“Bagi tujuan sama, sebanyak 19,537 buah aset seperti kenderaan, jentera, bot, khemah, generator dan peralatan lain akan digerakkan sepanjang tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perlantikan Watikah Pakar Penasihat Wanita Kelantan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan seramai 15 Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan dilantik dalam pelbagai bidang untuk memberikan pandangan dan sumbang saran yang membina bagi tujuan pembangunan Kelantan yang sejahtera.- KOSMO! ONLINE