fbpx

[VIDEO] ‘Ini pengorbanan guru-guru Kadazan Dusun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik oleh Cikgu George di akaun TikToknya.

PETALING JAYA – Tidak ternilai pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak muridnya walaupun terpaksa hidup dalam keadaan bersusah-payah sepanjang perkhidmatannya.

Itulah antara kisah realiti yang diceritakan oleh seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan, Telupid, Sabah dikenali sebagai Cikgu George Odol dalam satu video yang dimuat naik di TikToknya.

Di dalam video berkenaan, dia ada menunjukkan stor sekolah di mana ia merupakan tempat tinggalnya selama lebih tiga tahun sepanjang bertugas sebagai seorang guru.

Katanya, pada tahun 1999 ketika sekolah itu dibina, guru-guru terpaksa tinggal di rumah orang-orang kampung dan kelas yang diubah suai kerana tiada rumah guru disediakan.

“Kemudian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah membina dua buah rumah yang ‘ala kadar’ sahaja. Ketika saya ditugaskan di sekolah tersebut pada tahun 2020, saya terpaksa tinggal di stor prasekolah dengan keluasan 144 kaki persegi.

“Agak sedih jugalah, seorang pegawai pendidikan, pentadbir sekolah, guru besar terpaksa tinggal di rumah yang begini sahaja. Saya terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi prasekolah.

“Kata orang, apa boleh buat kami guru-guru Kadazan Dusun terpaksa korbankan keselesaan di bandar dan datang di sekolah-sekolah pedalaman kerana kebanyakan murid-murid adalah suku kaum Kadazan Dusun,” katanya.

Tambahnya, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mendidik murid-murid berkenaan jika bukan guru-guru Kadazan Dusun sepertinya.

“Saya terima sahaja keadaan sebagai guru pedalaman. Inilah pengorbanan kami selaku guru-guru yang dihantar bertugas di sekolah-sekolah pedalaman negeri Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Cikgu George Odol berkata, di penghujung perkhidmatannya, sebuah rumah panjang tujuh pintu telah dibina.

Namun katanya, beliau memberi keutamaan kepada guru-guru yang berasal dari luar seperti daerah Telupid.

“Saya akan bersara wajib pada 27 November ini. 10 hari lagi sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai seorang guru,” katanya.

Sehingga kini, videonya telah ditonton oleh 29,500 orang, 1,587 tanda suka dan 141 perkongsian.

Rata-rata orang ramai mendoakan buat Cikgu George Odol atas pengorbanannya sepanjang melaksanakan tugasnya sebagai seorang pendidik dan juga memohon pihak kementerian untuk memandang isu ini dengan serius.

“Saya merasakan bahawa cikgu adalah seorang pentabir yang sangat baik. Selamat bersara cikgu,” komen Anga.

“Tahniah Guru Besar George. Pemimpin dan pendidik hebat. Pendidik berjiwa besar. Selamat bersara dari saya dan warga Sekolah Kebangsaan Pekan Tamparuli,” komen Jasnie Omar.

“Masalah asas dalam sistem persekolahan kita yang hanya dipandang sebelah mata oleh pihak pemimpin negeri,” komen seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE

@mr.george_odol #fyp#universal#malaysiatiktok🇲🇾 ♬ bunyi asal – GEORGE ODOL

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI