KEHADIRAN Kim Pan-gon dalam skuad kebangsaan bukan sahaja mengubah gaya permainan, tetapi turut menyemai benih perjuangan apabila lulus pada ujian sulung Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Kata-kata azimat ketika di dalam bilik persalinan sewaktu Harimau Malaya sedang ketinggalan 1-3 menyaksikan para pemain bagai dirasuk apabila mempamerkan kebangkitan cukup luar biasa untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3.
Reaksi balas positif pemain dalam perlawanan penuh mencabar ini juga seakan menyelamatkan Pan-gon daripada terkena serangan jantung.
“Apa yang boleh kita lakukan selepas kita mendahului 1-0, tetapi kemudiannya ketinggalan 1-3? Saya serahkan kepada pemain, saya katakan kepada pemain bahawa ini negara kamu dan kamu bermain untuk Malaysia, jadi semuanya di tangan kamu.
“Saya hanya boleh bantu untuk memberi motivasi, mewujudkan suasana yang baik, memberi maklumat dan itu sahaja yang boleh saya lakukan dari segi persiapan pasukan. Selebihnya, semua bergantung kepada pemain.
“Pemain dan penyokong yang mencipta situasi (kemenangan) ini dan harap ia boleh berlaku lagi (kebangkitan). Perlawanan yang hebat dan sukar untuk menjangkakan keputusan perlawanan seperti ini,” katanya.
Dalam perlawanan kelmarin, tonggak pertahanan, Dion Cools cemerlang apabila menjaringkan dua gol, diikuti dua lagi jaringan hasil gol sendiri pertahanan lawan, Khristiian Brauzman sebelum Faisal Halim menggegar untuk mengesahkan kemenangan Harimau Malaya.
Secara tidak langsung, jurulatih dari Korea Selatan itu akui tiga mata kali ini cukup penting sebelum harungi perlawanan kedua bertemu Taiwan, Selasa ini.
“Kami tahu apa yang perlu dilakukan, jika kami tidak dapat menunjukkan aksi yang baik pasti kami tidak layak untuk pergi ke pusingan seterusnya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
“Tetapi perlawanan ini (menentang Taiwan) sangat berbeza kerana kami beraksi di tempat lawan, jadi kami perlu melakukan persediaan yang cukup baik untuk mendapatkan tiga lagi mata,” katanya.