BANGI – Didakwa difitnah berhubung satu klip video yang disunting pihak tidak bertanggungjawab, Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani memberitahu bahawa rakaman ‘video call’ (panggilan video) menerusi WhatsApp itu sudah tiada dalam milikannya.
“Video itu sudah tiada. Saya dah ‘delete’ (buang),” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang akhbar di Hotel Tenera, di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu klip video memaparkan perbualan jelik antara Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab sejak semalam di laman media sosial.
Abdul Wahab, 33, mendakwa dia telah diarahkan untuk merakam panggilan video tersebut bagi memerangkap Muhammad Agus sebelum diserahkan kepada ‘Mr. H’ dengan versi yang dikatakan tidak memiliki suara.
Namun, menerusi video berdurasi kurang seminit itu, kelakuan Muhammad Agus mengundang tanda tanya apabila berkelakuan tidak formal dengan ‘pegawai bawahan’ meskipun video itu didakwa telah disunting dengan menggunakan teknik ‘voice over’.
Menjawab percanggahan dalam kenyataannya, Abdul Wahab berkata, meskipun Muhammad Agus yang membuat panggilan terlebih dahulu, namun rakaman itu telah dipotong dan disunting.
“Kalau ikutkan, bukan percanggahan sebab video itu panjang. Kalau lihat yang dikeluarkan di media sosial itu telah dipotong,” jelasnya.
Sementara itu, Abdul Wahab berkata, dia akan membuat laporan polis dalam masa terdekat termasuk tindakan undang-undang sivil terhadap individu yang didakwa terlibat. – KOSMO! ONLINE.