PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara menjelaskan, peruntukan berkenaan dengan generasi penamat ‘generational end game’ (GEG) yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam boleh dicabar di mahkamah.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkata, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam boleh dicabar di Mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Jabatan ini menegaskan secara konsisten telah memberikan pandangan undang-undang sejak tahun 2022 bahawa peruntukan berkenaan GEG di dalam RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam boleh dicabar di Mahkamah.
“Ini kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memandangkan peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang yang tidak sama rata di antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Terrirudin berkata demikian bagi merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disiarkan dalam portal CodeBlue bertarikh 14 November 2023 dan portal New Straits Times bertarikh 16 November 2023.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan yang disiarkan portal CodeBlue mendakwa, terdapat dua menteri kabinet menyekat RUU yang bertujuan menjadikannya rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas 2007 diharamkan untuk membeli atau mengambil produk nikotin.
Bekas Menteri Kesihatan melalui hantaran di Instagramnya turut meluahkan kekecewaan kerana Kabinet memutuskan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada rang undang-undang tersebut.
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin telah memberi bayangan bahawa kerajaan bakal mengharamkan rokok di masa hadapan dengan melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada mereka yang lahir selepas 2007 di Parlimen. – KOSMO! ONLINE.