PETALING JAYA – Gadis berusia 22 tahun, Manvin Khera mencipta sejarah selepas dinobatkan sebagai juara Miss Globe 2023, mengalahkan 52 lagi peserta lain.
Menurut laporan media, Manvin yang juga Miss Globe pertama Malaysia turut dimahkotakan sebagai Miss Talent dalam pertandingan yang berlangsung di Durrës, Albania, semalam.
“Saya tidak tahu apa yang hendak diperkatakan. Sudah tentu, saya gembira untuk berada di sini dan tidak jangka dapat memenangi tempat pertama.
“Saya sentiasa yakin pada diri sendiri. Saya juga percaya, kekalahan tidak akan mematahkan semangat untuk kita terus maju ke hadapan.
“Saya berbangga dapat mewakili negara dan sekarang akan mewakili Organisasi Miss Globe. Saya juga akan gunakan platform ini untuk menyampaikan suara saya kepada dunia,” katanya dalam satu temu bual bersama wakil media usai kejuaraannya.
Dalam pertandingan tersebut, Manvin telah mengalahkan mengalahkan wakil dari Sepanyol, Katia Agbodo Rodriguez yang menduduki tempat kedua dan Filipina, Anna Valencia Lakrini di tempat ketiga.
Tempat keempat dan kelima masing-masing dimiliki wakil dari Nigeria (Duru Esther Chidera) dan Amerika Syarikat (Kirstin Yvonne Bang). – KOSMO! ONLINE