JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah supaya mengeratkan jalinan muhibah dan menyebar kebaikan tanpa mengira bangsa atau agama selain mengeratkan talian persahabatan dengan pelajar-pelajar dari luar negara.
Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah, persaudaraan sesama manusia merupakan antara nilai-nilai teras terpenting supaya menjadi masyarakat yang bertamadun, beradab, dan berdaya saing.
Raja Zarith bertitah, ketegangan geopolitik dunia sedikit sebanyak juga memberikan kesan kepada rakyat Malaysia.
Titah Baginda, terdapat begitu banyak kesengsaraan, kehilangan orang tersayang, kehilangan rumah, di beberapa pelosok dunia termasuklah penderitaan yang dialami di beberapa negara Islam.
“Kita telah melihat kemusnahan dan ketidakcukupan makanan disebabkan oleh kemarau, banjir, gempa bumi dan peperangan. Kita boleh menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang menghadapi keperitan kehidupan ini tetapi biarlah kita menanganinya dengan cara bijak.
“Sebagai pusat pengajian tinggi yang tersohor, UTM telah memberi peluang kepada beberapa pelajar antarabangsa untuk mendapat pendidikan di Malaysia. Ini adalah satu usaha yang mulia,” titah Baginda ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Konvokesyen ke-67 di Dewan Sultan Iskandar UTM, di sini hari ini.
Berangkat sama isteri Tunku Mahkota Johor yang juga Pro-Canselor UTM Yang Amat Mulia, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tan Seri Dr. Mohd Salleh Mohd. Nor.
Raja Zarith merakamkan ucapan tahniah buat Dr. Tharek Abd. Rahman dan Dr. Durrishah Idrus sebagai penerima anugerah Profesor Emeritus yang telah banyak menyumbang jasa kepada negara dan dunia dalam bidang keilmuan masing-masing. – KOSMO! ONLINE