fbpx

Pan-gon pakar variasi taktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara memulakan langkah kanan pada aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas membenam Kyrgyzstan kelmarin.

SELURUH peminat bola sepak negara hampir bersedia untuk menerima hakikat kekalahan pada aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) kelmarin, namun pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sekali lagi berjaya menunjukkan sentuhan magisnya.

Skuad negara ketinggalan 1-3 untuk tempoh lebih 70 minit ketika menentang Kyrgyzstan sebelum para pemain Pan-gon bangkit menterbalikkan keputusan tersebut untuk meraih kemenangan dramatik 4-3 sekali gus menjadikan SNBJ kubu kuat Harimau Malaya dengan lapan kemenangan daripada sembilan aksi tahun ini.

Seperti biasa, skuad negara turun dengan semangat yang luar biasa dan berjaya menghasilkan gol pembukaan seawal minit keenam dan menguasai permainan sepanjang tempoh 40 minit sebelum Kyrgyzstan mencipta kejutan meledak dua gol pantas dalam tempoh dua minit.

Babak kedua juga menyaksikan skuad negara dibolosi satu lagi gol memaksa Pan-gon mengerahkan idea dan kepakarannya untuk mengubah taktikal dengan membawa masuk Endrick Dos Santos, Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Daniel Ting bagi melaraskan semula mentaliti menyerang.

PAN-GON

Percaturan dalam situasi getir itu nyata membuahkan hasil apabila Harimau Malaya melakarkan kebangkitan dramatik dan luar biasa apabila menamatkan saingan dengan kemenangan 4-3 sekali gus menjadi langkah kanan untuk saingan kali ini.

Kemasukan empat pemain itu menyaksikan berlakunya beberapa perubahan termasuk posisi Arif Aiman Hanafi dan Faisal Halim yang bergerak lebih bebas (fluid) membolehkan mereka masuk ke bahagian tengah dan meninggalkan posisi sebagai pemain sayap.

Bagaimanapun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diatasi Pan-gon menjelang aksi berikutnya terutama melibatkan kawalan pemain lawan secara zon yang masih lemah selain benteng pertahanan juga perlu lebih fokus untuk mengelak gawang dibolosi.

Peningkatan terutama ketika tidak bersama bola juga perlu dititikberatkan selain perubahan mentaliti pemain daripada menyerang dan kembali bertahan juga perlu mencapai tahap respons yang terbaik untuk mengelak perangkap serangan balas pantas pasukan lawan.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad negara terbang ke Taiwan untuk berdepan pasukan negara itu pada aksi kedua Selasa ini dengan penuh bermotivasi bagi mencari satu lagi kemenangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI