DOHA – Perebutan gelaran dunia MotoGP 2023 antara pelumba Sepanyol, Jorge Martin dan Francesco ‘Pecco’ Bagnaia dari Itali semakin mendebarkan ketika perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu semakin menuju ke pusingan terakhir.
Bagaimanapun, Pecco dilihat mempunyai peluang lebih terbuka untuk mempertahankan kemenangan yang diraihnya musim lalu apabila dikatakan bakal dibantu rakan senegaranya menjelang perlumbaan di Grand Prix (GP) Qatar pada hujung minggu ini.
Bagnaia bukan sahaja boleh mengharapkan rakan sepasukannya, Enea Bastianini, tetapi juga mungkin perlukan bantuan dari rakan sepasukan di Akademi VR46 seperti Marco Bezzecchi dan Luca Marini.
Pun begitu, Bagnaia sentiasa menegaskan dia tidak mahu mana-mana pelumba lain termasuk rakan sepasukannya yang terpaksa mengorbankan peluang kemenangan mereka sendiri.
“Saya cukup jelas dengan pasukan dan saya akan selalu mengatakan bahawa jika Enea (Bastianini) mempunyai kemungkinan untuk menang dan dia berada dalam situasi untuk muncul juara dia perlu teruskan.
“Tetapi yang pasti saya sentiasa ‘ok’ untuk bekerjasama dalam sesi perlumbaan. Apapun, saya lebih suka bersaing secara bersendirian, tetapi mungkin sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu bersama-sama,” kata Bagnaia.
Dalam pada itu, Martin sedia untuk menghadapi segala cabaran biarpun terpaksa berdepan dengan ‘rakan-rakan’ Bagnaia di hadapannya.
“Saya tidak kisah tentang siapa yang mempunyai paling ramai kawan di Ducati, saya hanya mengambil peduli tentang diri saya sendiri,” kata Martin.
Bagnaia kini mendahuli 14 mata di hadapan Martin ketika 74 mata masih tersedia dalam dua perlumbaan di Qatar dan Valencia. – AGENSI