fbpx

MOTAC, kerajaan negeri perkasakan pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KING SING (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan 2023 (JKPPK) kelmarin.

PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mahu hubungan de­ngan kerajaan-kerajaan negeri sentiasa diperkukuhkan bagi memantapkan ekosistem pelanco­ngan di dalam dan luar negara.

Kerjasama itu penting sebagai persediaan sempena ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China yang ke-50 pada tahun hadapan serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menurut Menteri Pelanco­ngan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, kedua-dua tahun itu sangat penting untuk sektor pelancongan, kebudayaan dan seni berkembangan dengan pesat.

Ini kerana katanya, sektor pelancongan memainkan pe­ranan penting sebagai salah satu segmen strategik pembangunan negara.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pemba­ngunan Pelancongan dan Kebudayaan 2023 (JKPPK) pertama yang dipengerusikan oleh saya kelmarin menyatakan fokus MOTAC terhadap kemampanan ekosistem pelancongan di dalam dan luar negara serta komited untuk mengembangkan nilai komersial seni, budaya serta industri kreatif.

“Mesyuarat ini dihadiri oleh pengurusan tertinggi MOTAC, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, wakil agensi pelancongan negeri dan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Mesyuarat ini adalah platform untuk MOTAC dan kerajaan negeri berbincang hal ehwal utama sektor pelancongan dan kebudayaan serta menjalin kerjasama,” ujar beliau.

KING SING (duduk, tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi MOTAC, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri serta wakil agensi pelancongan negeri selepas mesyuarat JKPPK.

King Sing berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan daripada kerajaan negeri berkaitan infrastruktur pelancongan negeri masing-masing supaya MOTAC dapat mengkaji bagaimana dapat memberi sokongan bagi menaik taraf kawasan pelancongan dan tapak warisan yang ada.

Dalam masa sama katanya, MOTAC menghormati kuasa kerajaan negeri untuk merancang pembangunan pelancongan dengan tujuan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dan bukan berhasrat untuk mencampuri bidang kuasa mereka.

“Dengan itu, saya menyarankan semua Exco Kerajaan Negeri berbincang dengan Ahli Dewan Negeri atau Ahli Parlimen di kawasan masing-masing.

”Setiap kerajaan negeri berhak merangka promosi jangka panjang dan jangka pendek serta bertanggungjawab untuk berkomunikasi dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi mengeratkan kerjasama seterusnya merealisasikan apa yang dirancang sebaik mungkin,” katanya.

Tambah King Sing, MOTAC juga sedang mengerakkan projek penggambaran pelancongan dan penyempurnaan pembangunan aplikasi mudah alih serta berharap projek itu dapat direalisasikan pada pertengahan Januari 2024.

Sementara itu, mengulas me­ngenai keputusan menunda Tahun Melawat Malaysia ke 2026, King Sing berkata, ia diambil selepas perbincangan dengan wakil sektor pelancongan kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membuat persiapan, termasuk menaik taraf dan menyelesaikan masalah yang dihadapi selepas pandemik melanda.

“Saya juga mencadangkan setiap kerajaan negeri menghantar wakil masing-masing me­nyertai sekretariat VM2026, supaya MOTAC dengan kerajaan negeri dapat berkomunikasi de­ngan lebih rapat.

“Sebarang permasalahan yang dihadapi oleh kerajaan negeri dapat diambil tindakan dan diselesaikan dengan cepat,” katanya.

KING SING

Dalam pada itu, berkaitan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) pula, King Sing membe­ritahu bahawa beliau telah me­minta setiap kerajaan negeri untuk mengemukakan cadangan dan promosi kepada MOTAC di peringkat negeri.

Ia bagi mengelak timbulnya kekeliruan dan salah faham serta menangani aduan yang diterima.

“Selain itu, mesyuarat ini juga menitikberatkan aspek keselamatan pelancongan termasuk kemalangan membabitkan bas pelancong.

“Bagi mengelakkan kejadian-kejadian sedemikian berulang dan menjejaskan sektor pelancongan serta imej negara, saya memohon kepada setiap kerajaan ne­geri mengadakan perbincangan de­ngan agensi pelancongan dan ­menangani isu ini secepat mungkin, termasuk masalah kekura­ngan pemandu pelancong serta mutu perkhidmatan.

“Selain itu, wakil dari kerajaan negeri turut membangkitkan isu struktur industri dan permintaan pelancong yang bervariasi telah mewujudkan aktiviti pelancongan yang baharu seperti karavan, inap desa atau homestay serta glam­ping.

”Mereka mencadangkan kerajaan Persekutuan mewujudkan akta baharu atau membuat pindaan terhadap akta sedia ada bagi mengawal selia perkembangan baharu ini supaya keselamatan peribadi dan harta benda serta hak pelancong terjamin,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, mesyuarat ini juga membincangkan tentang Belanjawan 2024 yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan kebudayaan; peruntukan kepada MOTAC; projek pembangunan; peruntukan projek pembangunan RMK12 dan lain-lain lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI